Peguam senior calon Muda di Batu Uban

Peguam senior calon Muda di Batu Uban

Lee Kim Noor, 59, antara 20 calon PRN dinamakan Muda, dengan bilangan calon lelaki dan wanita sama banyak diletakkan bertanding.

Peguam Lee Kim Noor, 59, dipilih oleh Muda untuk bertanding di kerusi Batu Uban pada PRN Pulau Pinang akan datang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Muda mendedahkan senarai akhir 10 calon diletakkannya pada PRN akan datang, memperkenalkan kejutan dengan pilihan calon lebih berusia.

Peguam Lee Kim Noor, 59, dipilih untuk bertanding di kerusi Batu Uban, Pulau Pinang.

Lee, yang lebih dikenali sebagai KN Lee, sebelum ini berkhidmat sebagai ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang bawah kuota NGO dan merupakan pengerusi pengasas Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, calon-calon parti itu adalah yang paling pelbagai dari segi latar belakang dan senioriti.

Tambahnya, senarai calon itu juga yang paling sama banyak dari segi jantina, dengan separuh daripada 20 calon yang diumumkan setakat ini terdiri daripada wanita.

Berikut adalah senarai penuh calon:

PULAU PINANG

  • Batu Uban: Lee Kim Noor, 59
  • Perai: Vikneswary ‘Viky’ Harikrishnan, 36

SELANGOR

  • Bukit Gasing: VKK Raja, 44
  • Subang: Zayd Shaukat Ali, 27
  • Kota Anggerik: Azad Akbar Khan, 35
  • Taman Templer: Aida Nazeera Rahman, 30
  • Bandar Utama: Abe Lim, 27
  • Pandan Indah: Lisa Redzuan, 41

NEGERI SEMBILAN

  • Temiang: Qusyairi Rahim, 24
  • Repah: Iswan Ishak, 32

Dua minggu lepas, Muda mengumumkan empat calon di Selangor, iaitu Setiausaha Agung Amir Hariri Abd Hadi di Seri Serdang; Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen (Batu Tiga); R Thanusha (Sentosa); dan Melanie Ting (Bukit Antarabangsa).

Minggu lepas, Muda menamakan enam calon lagi, iaitu Ketua Penerangan Luqman Long (Bandar, Terengganu); Al-Hafiz Ikhwan (Dusun Tua, Selangor); Dr R Siva Prakash (Kuala Kubu Bharu, Selangor), Afriena Shaqiera Sariff (Sungai Kandis, Selangor) dan Dobby Chew (Seri Setia, Selangor).

Sementara itu, Priyankaa Loh dinamakan sebagai calon bagi kerusi Pantai Jerejak di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.