
Spekulasi itu turut dikaitkan dengan Amanah menyerahkan kerusi DUN Tepoh kepada calon Barisan Nasional (BN).
Pengarah Pilihan Raya PKR Terengganu, Ahmad Sabri Ali, mengakui timbul spekulasi itu dan menjadi perbualan pengundi susulan cadangan seorang pemimpin BN.
“Pemimpin BN itu mencadangkan nama Nurul Izzah sebagai calon BN Kuala Terengganu ketika minum selepas program parti Rabu lalu.
“Kita sudah bertanyakan isu Nurul Izzah kepada pimpinan tertinggi PKR semalam dan mereka mengatakan spekulasi disebarkan melalui pelbagai laman sosial itu sebagai gurauan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, tidak masuk akal dakwaan mengatakan Nurul Izzah akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.
“Setakat ini, Badan Pimpinan PKR negeri belum menerima sebarang maklumat, tetapi sentiasa bersiap siaga bersama jentera pilihan raya BN jika dakwaan itu betul,” katanya.
PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya negeri susulan pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Pada PRU15 lalu, Amzad mempertahankan kerusi Parlimen itu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi menewaskan tiga calon lain.
PRK Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan serentak dengan PRN enam negeri pada 12 Ogos ini, dengan penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.