Menteri arah batal Good Vibes Festival

Menteri arah batal Good Vibes Festival

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata tiada kompromi terhadap pihak yang mencabar, memperlekeh dan melanggar undang-undang negara.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan dengan penganjur Good Vibes Festival 2023 hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan mengarahkan pembatalan serta-merta baki dua hari Good Vibes Festival 2023, yang sepatutnya berlangsung hari ini dan esok, susulan kontroversi dicetuskan kumpulan The 1975 malam tadi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata arahan itu dibuat selepas pihaknya berjumpa penganjur iaitu Future Sound Asia.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara, bagaimanapun jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, penganjur berkata acara itu diteruskan mengikut jadual hari ini dan esok di sebalik kontroversi yang tercetus.

Persembahan kumpulan dari British itu dihentikan serta-merta kerana tidak mematuhi garis panduan, dengan bertindak biadab ketika melakukan persembahan.

Ia dihentikan selepas vokalis The 1957, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat dalam konsert di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Dia didakwa memegang botol arak atas pentas, selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Selepas persembahan dihentikan semalam, Healy memaklumkan penonton di SIC “kami diharamkan dari Kuala Lumpur”.

Healy terpalit kontroversi dalam konsert 2019 di Dubai kerana mencium peminat lelakinya.

Susulan pembatalan itu, Fahmi berkata pihaknya meminta penganjur mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli tiket.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.