Mekanisme ganti rugi Good Vibes akan diumum secepat mungkin, kata penganjur

Mekanisme ganti rugi Good Vibes akan diumum secepat mungkin, kata penganjur

Pihak penganjur turut memohon maaf kepada semua pemegang tiket, vendor, penaja dan rakan kongsi berikutan pembatalan festival itu.

Terdahulu, Fahmi Fadzil mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 dibatalkan serta-merta susulan pertemuannya dengan pihak penganjur festival berkenaan, iaitu Future Sound Asia. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mekanisme ganti rugi Festival Good Vibes 2023 (GVF 2023) yang dibatalkan serta-merta, walaupun sepatutnya berlangsung hingga esok, akan diumumkan secepat mungkin.

Menurut kenyataan festival itu, pihaknya memohon maaf kepada semua pemegang tiket, vendor, penaja dan rakan kongsi berikutan pembatalan festival itu susulan aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis United Kingdom, Matty Healy daripada kumpulan “The 1975” semasa persembahan di Sepang malam tadi.

“Kami menyedari masa, tenaga dan usaha yang anda luangkan untuk menjadikan festival ini satu kejayaan, dan kami menghargai sokongan padu anda. Kami akan mengemas kini mekanisme ganti rugi kepada anda secepat mungkin.

“Kami hargai pemahaman dan sokongan berterusan anda pada masa yang mencabar ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital tengah hari tadi.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 dibatalkan serta-merta.

Katanya, pendirian kerajaan perpaduan jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

Fahmi sebelum itu mengadakan pertemuan dengan penganjur festival berkenaan, iaitu Future Sound Asia bagi memohon penjelasan berhubung insiden berkontroversi dicetuskan oleh artis dari United Kingdom itu ketika membuat persembahan di Litar Antarabangsa Sepang.

Media melaporkan persembahan The 1975 dihentikan selepas vokalisnya didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.