Kawal kritikan DAP Sarawak demi lindung kerajaan perpaduan persekutuan, PH diberitahu

Kawal kritikan DAP Sarawak demi lindung kerajaan perpaduan persekutuan, PH diberitahu

Awang Azman Pawi berkata pergeseran berterusan antara DAP Sarawak dan GPS akan memberi ruang kepada PN mengambil hati gabungan kerajaan negeri itu.

DAP Sarawak memainkan peranan pembangkang di DUN, tetapi sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) perlu menasihatkan DAP mengawal kritikannya terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kelangsungan politik kerajaan perpaduan persekutuan, kata seorang penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, tindakan itu perlu memandangkan GPS sekutu penting dalam pentadbiran persekutuan.

“Kena ingat, jika GPS tarik diri (daripada sokong kerajaan persekutuan), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga mungkin membuat keputusan sama,” katanya kepada FMT.

GPS, dengan 23 Ahli Parlimen, memainkan peranan penting dalam pelantikan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pada November lalu. Ia dilaporkan bekerjasama sebagai satu blok dengan enam Ahli Parlimen daripada GRS di Sabah bagi membantu membentuk kerajaan perpaduan.

Kerjasama itu direalisasikan selepas Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dan Pengerusinya, Lim Guan Eng memohon maaf secara terbuka kepada GPS atas “kenyataan dibuat pemimpin DAP terdahulu yang menyinggung perasaan kerajaan Sarawak dan rakyat”.

Walaupun mereka bekerjasama di peringkat persekutuan, DAP Sarawak merupakan pembangkang di DUN dan terus mengkritik kerajaan negeri pimpinan GPS secara terbuka.

Hubungan renggang itu diuji lagi apabila Ahli Jawatankuasa DAP negeri, Michael Kong menggelar Parti Sarawak Bersatu (PSB) “kuda trojan” selepas parti pembangkang itu berikrar menyokong Premier Sarawak, Abang Johari Openg minggu lalu.

Kong berkata, DAP Sarawak akan terus bekerja keras untuk “mencabar GPS dan perubahan sebenar di Sarawak”.

Awang Azman memberi amaran pergeseran antara DAP Sarawak dan GPS akan memberi ruang kepada Perikatan Nasional (PN) mengambil hati gabungan kerajaan negeri itu.

“Jika ini berterusan, PN akan menggunakan serangan DAP Sarawak sebagai cara untuk mengambil hati GPS kelak. Kita perlu ingat, Sarawak akan mengadakan PRN dalam tempoh tiga tahun.”

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia bersetuju DAP perlu mengawal DAP Sarawak bagi memperbaiki hubungan parti itu dengan GPS.

Katanya, kedudukan GPS di Sarawak “kukuh serta tidak dapat dirobohkan” dan keutamaannya dalam kerajaan persekutuan demi menjamin kepentingan negeri Borneo, khasnya berkaitan mematuhi syarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tetapi, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, ia bukan perkara luar biasa di Sarawak bagi sebuah parti menjadi pembangkang di DUN dan menganggotai kerajaan di peringkat persekutuan.

Katanya, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) memainkan dua peranan itu pada 1990-an ketika Barisan Nasional mengetuai kerajaan persekutuan.

“DAP memainkan peranan pembangkang di peringkat negeri, tetapi berada dalam gabungan (kerajaan) dengan GPS di peringkat persekutuan harus dilihat sebagai perkara biasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.