Fahmi arah Puspal tambah baik peraturan persembahan artis luar

Fahmi arah Puspal tambah baik peraturan persembahan artis luar

Menteri komunikasi dan multimedia mahu senarai itu diserah minggu depan sebagai langkah mencegah perbuatan biadap kumpulan The 1975.

Fahmi Fadzil berkata, Puspal tidak menerima penyertaan The 1975 dalam festival di Sepang, namun pihak penganjur kemuka rayuan dan memberi aku janji akan bertanggungjawab penuh.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) diminta memberikan senarai penambahbaikan peraturan kebenaran persembahan artis luar negara kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) minggu depan, kata menterinya Fahmi Fadzil.

Beliau berkata senarai berkenaan diperlukan sebagai langkah pencegahan bagi mengelak berulang perbuatan biadab yang berlaku pada konsert kumpulan The 1975 ketika Festival Good Vibes 2023 di Sepang, semalam.

“Saya telah arahkan supaya pihak Puspal beri senarai penambahbaikan tatacara kepada saya minggu depan serta proses untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Komuniti Madani di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau telah berjumpa pihak Puspal pada Jun lepas dan diberitahu bahawa mereka tidak menerima penyertaan (kumpulan muzik) The 1975 dalam festival itu.

“Tetapi pihak penganjur buat rayuan. Dalam surat rayuan itu, mereka sertakan surat aku janji daripada pengurus kumpulan berkenaan yang menyatakan mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk konsert kumpulan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.