
Sumber berkata, lelaki itu yang juga pembantu kepada pemilik syarikat yang direman sebelum ini, ditahan kira-kira 10 malam semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
“Lelaki berusia 50an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini dan Majistret M Mageshwary membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari hingga 24 Julai ini.
“Di mahkamah majistret yang sama, SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang lagi suspek wanita yang juga pengarah syarikat selama dua hari hingga Ahad ini,” kata sumber.
Katanya, wanita tersebut sebelum ini direman selama tiga hari sehingga hari ini, manakala ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang turut direman dibebaskan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.
SPRM pada 19 Julai, mereman ketua pegawai eksekutif MBI dan pengarah syarikat itu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa berkait aktiviti perlombongan REE berjumlah lebih RM13 juta.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihaknya ketika ini sudah merakam keterangan 12 saksi berhubung kes tersebut dan akan turut memanggil Menteri Besar Kedah Sanusi Nor.