
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman berkata pelajar daripada sebuah sekolah menengah di Durian Daun itu sedang menjalani rawatan di Hospital Muar, Johor.
Rahmad berkata pelajar yang berasal dari Muar itu juga perlu makan dua jenis ubat penenang bagi merawat penyakit dihidapinya.
“Selain itu, pelajar terbabit juga telah dikenakan perintah pemulihan akhlak selama dua tahun di sebuah sekolah pemulihan akhlak di Melaka iaitu di Bukit Baru tetapi bersekolah di sebuah sekolah menengah di Durian Daun.
“Maklumat berkenaan diperoleh menerusi siasatan yang dijalankan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan negeri (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri sebaik kejadian berkenaan berlaku, namun punca mangsa terjun masih belum diketahui tetapi mungkin dia mengalami halusinasi,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, jenazah pelajar terbabit telah diuruskan oleh pihak JPN dan asrama sebaik mungkin untuk dibawa dan dikebumikan di Tangkak, Johor hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah menengah di Durian Daun.
Mangsa ditemukan oleh tukang kebun dalam keadaan terlungkup di kaki lima bangunan sekolah itu pada 2.31 petang dan siasatan awal polis mendapati kelas mangsa berada di tingkat dua bangunan sekolah tiga tingkat itu.