Lebih bermakna ketepi perbezaan dari tuding jari, tegur NGO Felda

Lebih bermakna ketepi perbezaan dari tuding jari, tegur NGO Felda

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan menyeru pertikaian antara Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin dihentikan.

Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman mengingatkan pemimpin akan isu penting yang perlu mereka tangani untuk Felda, seperti cegah ketirisan, salah guna kuasa, dan anasir rasuah.
PETALING JAYA:
Sebuah NGO menyeru pertikaian antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin berkait pelupusan hutang peneroka dihentikan, demi kepentingan warga Felda.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan berkata adalah lebih bermakna sekiranya pemerintah dan pembangkang ketepikan perbezaan dan bekerjasama berbanding menuding jari mencari salah.

“Selaku NGO yang dilihatkan dalam sesi libat urus, usaha Muhyiddin selaku perdana menteri ketika itu tidak boleh dinafikan. Pengumuman Anwar selaku menteri kewangan pada 27 Jun disusuli insentif khas pada 7 Julai amat melegakan dan ditunggu-tunggu,” kata penasihatnya, Mazlan Aliman.

Beliau mengingatkan semua pemimpin bahawa masih ada isu-isu penting yang perlu mereka tangani, seperti mencegah ketirisan, salah guna kuasa, dan anasir rasuah.

“Justeru, ikrar dan janji secara retorik demi laba politik akan kekal menghakis kepercayaan rakyat. Sebaliknya, ‘political will’ mesti dibuktikan,” katanya.

Kelmarin, Muhyiddin menuntut Anwar memohon maaf berikutan dakwaan perdana menteri itu bahawa hutang peneroka Felda, berjumlah RM8.3 bilion, tidak pernah dilupuskan bawah pentadbiran Muhyiddin.

Muhyiddin juga menuntut Anwar memberikan bukti bahawa beliau sebagai menteri kewangan telah menandatangani pelupusan hutang itu pada Jun.

Semalam, Anwar mendedahkan dua dokumen, iaitu jaminan kerajaan yang dikeluarkan kepada Felda dan arahan pembayaran RM990 juta daripada kerajaan kepada Felda, sebagai bukti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.