Buruh ladang mati dipercayai dibunuh

Buruh ladang mati dipercayai dibunuh

Menurut polis, seorang lelaki berusia 53 tahun direman tujuh hari mulai semalam bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mangsa berusia 33 tahun dijumpai dengan kesan tikaman di bahagian badan dan kepala di sebuah ladang sawit di Merotai, Tawau.
TAWAU:
Seorang lelaki warga asing yang juga buruh ladang ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah ladang sawit di Merotai, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Tawau, Jasmin Hussin, berkata mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai dengan kesan tikaman di bahagian badan dan kepala serta dipercayai dibunuh kira-kira 11 pagi.

“Susulan itu, polis menahan tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan di kawasan bandar Tawau pada 12 tengah malam semalam (kelmarin) untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita semalam.

Jasmin berkata, tiga daripadanya kemudian dibebaskan, manakala seorang suspek lelaki berusia 53 tahun direman tujuh hari bermula semalam bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal dipercayai milik mangsa dan tombak disyaki digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.