
Petisyen di Change.org itu yang dimulakan Safiah Omar, menamakan Nurhaizah Ejab sebagai guru yang memerlukan perlindungan undang-undang.
Nurhaizah disenaraikan sebagai saksi dalam saman difailkan tiga bekas pelajar lain terhadap guru Bahasa Inggeris mereka yang ponteng kelas, Jainal Jamran.
Safiah berkata, Nurhaizah memberi keterangan atas risiko sendiri dan guru itu tidak diberikan sebarang perlindungan pemberi maklumat sehingga kini.
“Pada November 2022, bekas guru bahasa Inggeris saya, Nurhaizah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi. Kerana PRU15, kebanyakan media tidak melaporkan keterangannya.
“Di mana ahli politik, polis dan Kementerian Pendidikan kita?” soal Safiah dalam laman sesawang petisyen itu.
Sebelum ini, beberapa media melaporkan Nurhaizah memberi keterangan beliau menerima ugutan bunuh dan tayar keretanya dihiris selepas memfailkan aduan mengenai Jainal kepada pihak berkuasa sekolah.
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menganugerahkan ganti rugi RM90,000 kepada tiga bekas pelajar itu dalam saman mereka terhadap Jainal yang enggan mengajar mereka Bahasa Inggeris pada 2017.
Hakim Leonard David Shim memutuskan plaintif – Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung – berjaya membuktikan kes berdasarkan keseimbangan kebarangkalian.
Tiga bekas pelajar itu memfailkan saman terhadap Jainal dan pengetua ketika itu, Suid Hanapi pada 2020. Mereka turut menamakan ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan, dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.
Mereka berkata, Jainal ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris tiga kali seminggu dari Januari hingga Oktober 2017, tetapi hanya muncul pada dua bulan pertama. Mereka berkata, kerajaan juga gagal mengambil langkah membetulkan ketidakhadiran Jainal serta melanggar kewajipan berkanunnya kerana tiada tindakan.
“Kerajaan perlu memberi perlindungan penuh pemberi maklumat kepada Nurhaizah dengan segera. Perbicaraan kedua tidak lama lagi akan memanggil beliau sekali lagi terhadap defendan sama,” kata Safiah.