MKD, badan berkanun digesa tingkat pulangan dividen

MKD, badan berkanun digesa tingkat pulangan dividen

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata antara syarikat MKD yang memberikan pulangan dividen tinggi adalah Petronas dan Khazanah.

Ahmad Maslan berharap syarikat lain bawah MKD dan BBP bersungguh-sungguh meningkatkan pulangan dividen kepada kerajaan.
PUTRAJAYA:
Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) digesa meningkatkan pulangan dividen kepada kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, berkata antara syarikat milik MKD yang memberikan pulangan dividen tinggi kepada kerajaan adalah Petronas dan Khazanah.

“Kita meminta agar syarikat lain bawah MKD dan BBP memulangkan dividen dan meningkatkan dividen kepada kerajaan.

“Kaedah pengurusan syarikat (mestilah) mengikut kaedah peringkat antarabangsa dan tadbir urus baik. Ini perlu dilatih (serta) diberikan pendedahan sebagaimana dilakukan hari ini,” katanya dalam sidang media program kepimpinan dan tadbir urus baik lembaga pengarah MKD dan BBP.

Ahmad juga berharap syarikat lain bawah MKD dan BBP bersungguh-sungguh meningkatkan pulangan dividen kepada kerajaan.

Beliau berkata, Bank Negara (BNM) di bawah BBP memberikan dividen sehingga RM3 bilion secara tahunan.

Sementara itu, Ahmad berkata antara syarikat tidak mencapai peratusan pulangan dividen kepada kerajaan adalah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Katanya, syarikat berkaitan infrastruktur itu lebih kepada memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“MRL, anak syarikat MKD bawah projek utama pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Bila boleh beri dividen…ambil masa.

“KTMB juga prasarana pengangkutan ini dia tak untung sebab tak dibenarkan naikkan (harga) tiket sewenang-wenangnya. Kalau beri peluang naik harga tiket mesti ada untung.

“Tetapi kerana (nak) beri perkhidmatan (kepada) rakyat…tidak capai keuntungan,” katanya.

Menurutnya, antara syarikat bawah MKD yang tidak memberikan pulangan dividen adalah 1MDB, namun beliau tidak memperincikannya lebih lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.