
Hasnul berkata, dengan rekod selama dua penggal sebagai wakil rakyat, beliau yakin akan mendapat sokongan majoriti daripada ahli dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Kuala Langat.
“Ketua bahagian itu membuat kenyataan lebih bersifat peribadi sebab majoriti ahli-ahli dan cawangan Amanah dan juga semua komponen PH di Kuala Langat menyokong saya,” katanya ketika dihubungi FMT.
Terdahulu, media melaporkan Amanah Kuala Langat menolak Hasnul sebagai calon PH bagi kerusi itu pada PRN Selangor akan datang.
Ketuanya, Mohd Safiee Harun berkata, Amanah perlu menampilkan calon baharu menggantikan Hasnul, yang sudah mewakili Morib sejak 2013.
Amanah Kuala Langat berpendirian wakil rakyat Morib wajar diberi peluang berkhidmat hanya dua penggal kerana rakyat mahukan “sentuhan dan idea” Adun baharu yang lebih prihatin dan efisien.
Hasnul berkata, beliau bersiap sedia jika diberi peluang untuk mewakili Morib bagi penggal ketiga.
“Selagi wakil rakyat itu diterima masyarakat, mempunyai prestasi kerja dan tahap kesihatan yang baik, maka tiada keperluan untuk menghadkan tempoh penggal,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim ketika dihubungi FMT memberitahu, setakat ini parti itu masih belum memuktamadkan calon di DUN Morib.
Amanah akan mengumumkan senarai penuh calon PRN Selangor pada Isnin.
Pada PRU14, Hasnul mempertahankan DUN Morib dengan kelebihan 2,117 undi, menewaskan dua pencabar lain.