Amanah Kuala Langat tolak Hasnul calon DUN Morib

Amanah Kuala Langat tolak Hasnul calon DUN Morib

Amanah Kuala Langat berpendirian wakil rakyat Morib diberi peluang berkhidmat selama dua penggal sahaja.

Hasnul Baharuddin mewakili rakyat DUN Morib selama dua penggal sejak 2013. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Amanah Kuala Langat menolak bekas Adun Morib, Hasnul Baharuddin sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu pada PRN Selangor akan datang.

Ketuanya, Mohd Safiee Harun berkata Amanah perlu menampilkan calon baharu menggantikan Hasnul, yang sudah mewakili Morib selama dua penggal sejak 2013.

“Kami berpendirian parti perlulah menampilkan muka baharu yang lebih segar dan berwibawa dalam menggalas tanggungjawab membela rakyat.

“Lebih-lebih lagi suasana politik negara berubah kepada trend politik baharu yang lebih terbuka dan pantas,” katanya dalam kenyataan.

Amanah Kuala Langat berpendirian wakil rakyat Morib wajar diberi peluang berkhidmat selama dua penggal sahaja, kerana rakyat mahukan “sentuhan dan idea” ADUN baharu yang lebih prihatin dan efisien.

“Kami yakin parti ini tidak ketandusan pelapis kepimpinan berkaliber yang mampu menjadi pemimpin lebih baik,” kata Mohd Safiee.

Amanah Kuala Langat menyeru ruang dan peluang diberi kepada muka baharu untuk dipertaruhkan di DUN Morib, sambil mengingatkan kerusi ditandingi bukan hak mutlak mana-mana individu.

Pada PRU14, Hasnul mempertahankan DUN Morib dengan kelebihan 2,117 undi, menewaskan dua pencabar lain.

Amanah akan mengumumkan senarai penuh calon PRN Selangor pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.