7 Nov dengar rayuan 6 individu dihukum mati bunuh Kevin Morais

7 Nov dengar rayuan 6 individu dihukum mati bunuh Kevin Morais

Tarikh ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Pada 2020, enam individu dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais pada 2015. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Nov ini untuk mendengar rayuan enam lelaki yang dihukum mati selepas disabitkan dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais tujuh tahun lepas.

Jasmine Cheong, seorang daripada peguam yang mewakili bekas pakar patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran, serta Kitson Foong mewakili S Ravi Chandaran, mengesahkan tarikh pendengaran rayuan tersebut.

Tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Sementara itu, Foong berkata, mahkamah turut memberikan arahan kepada pihak pembelaan dan pendakwaan untuk memfailkan hujahan masing-masing selewat-lewatnya pada 9 Okt dan hujahan jawapan selewat-lewatnya pada 23 Okt.

Beliau berkata, mahkamah juga menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 26 Okt ini.

Pada 10 Julai 2020, Kunaseegaran, 59; pemberi pinjaman wang S Ravi Chandaran, 51; dan empat penganggur R Dinishwaran, 30, A K Thinesh Kumar, 29, M Vishwanath, 32, serta S Nimalan, 29, dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mereka didapati bersalah membunuh Morais.

Mereka didakwa membunuh Morais, 55, di satu lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015 .

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.