Tuduhan berdasarkan bukti kukuh, peguam negara nafi pendakwaan terpilih

Tuduhan berdasarkan bukti kukuh, peguam negara nafi pendakwaan terpilih

Keputusan mengenakan tuduhan bukannya atas desakan mana-mana pihak, kata Jabatan Peguam Negara.

Jabatan Peguam Negara berkata, pihaknya tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan sewajarnya.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih, bermotif politik dan penganiayaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, keputusan mengenakan tuduhan dan pendakwaan adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil siasatan, bukannya atas desakan mana-mana pihak mahupun faktor lain.

Katanya, sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu itu akan didakwa oleh Jabatan Peguam Negara tanpa mengira status dan latar belakang.

“Keputusan (pendakwaan) dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperolehi keadilan yang sewajarnya.

“Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih, bermotif politik dan penganiayaan terhadap mana-mana individu yang didakwa,” kata kenyataan itu.

Semalam, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin membidas tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor, menyifatkannya sebagai pendakwaan terpilih.

Sanusi ditahan di sebuah hotel di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin dan didakwa atas dua tuduhan bawah Akta Hasutan 1948, berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan.

Beberapa pemimpin PN, termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, turut berdepan pendakwaan di mahkamah atas beberapa tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.