
Hajiji berkata, beliau mengalu-alukan kenaikan geran RM40 juta untuk Sabah berbanding RM260 juta yang diumumkan Putrajaya untuk negeri itu pada Januari.
“Yakinlah bahawa kami tidak akan menyerah sehingga Sabah mendapat apa yang terhutang kepadanya seperti yang termaktub (dalam Perjanjian Malaysia 1963),” katanya, lapor Borneo Post.
“Ini penyelesaian interim dan, seperti yang disebut oleh (timbalan perdana menteri) Fadillah Yusof, rundingan sedang berjalan dengan jawatankuasa berasingan untuk menentukan dan memuktamadkan formula bagi geran khas tahunan bagi dua negeri Borneo ini dalam tempoh setahun.”
Hajiji juga berkata, Sabah akan terus memperjuangkan hak geran khas bawah Perkara 112C dan Bahagian IV dalam Jadual Kesepuluh, serta Perkara 112D Perlembagaan.
Semalam, Fadillah, pengerusi jawatankuasa MA63, mengumumkan Sabah dan Sarawak kedua-duanya akan menerima geran khas RM300 juta tahun ini daripada kerajaan persekutuan.
Sabah dan Sarawak berhak mendapat geran khas bawah Perkara 112C Perlembagaan.
Pada Januari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa geran khas untuk Sarawak telah dinaikkan kepada RM300 juta, manakala Sabah akan menerima RM260 juta, sementara menunggu persetujuan mengenai formula geran khas.
Anwar juga berkata, geran khas itu akan dikaji semula setiap lima tahun supaya jumlah yang lebih “munasabah” boleh diperuntukkan.