3 warga Myanmar ditemui maut dalam MPV di R&R

3 warga Myanmar ditemui maut dalam MPV di R&R

Tiga warga asing berusia 23 hingga 27 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di R&R Yong Peng.

Mayat tiga warga Myanmar dikeluarkan orang awam dari Perodua Alza di R&R Yong Peng. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Tiga warga Myanmar, termasuk seorang wanita ditemui maut dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Yong Peng, arah selatan malam tadi.

Mangsa berusia 23 hingga 27 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam dalam Perodua Alza kira-kira 8.30 malam.

Difahamkan, orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba membantu dengan memecahkan cermin bagi mengeluarkan mangsa, tetapi mereka disahkan meninggal dunia sebaik pasukan perubatan tiba di tempat kejadian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Suhairulair Sarip, berkata enam anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 8.59 malam.

“Sebaik tiba, kami mendapati ketiga-tiga mangsa sudah dikeluarkan orang awam yang kebetulan berada di lokasi.

“Semua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Berita Harian.

Pemangku Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian tiga warga asing terbabit.

“Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk bedah siasat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.