
Saarani menyifatkan spekulasi itu sebagai satu politik “nakal” yang mengikut logik tidak akan berlaku memandangkan DUN Perak telah meluluskan Enakmen Anti Lompat Parti pada sidang Disember lalu.
“Saya pun tidak peduli sebab yang pertama saya tahu perkara ini tidak mungkin berlaku, tetapi hanya nak menimbulkan perasaan prasangka kepada Adun-Adun saya.
“Ini saya anggap sebagai satu kenakalan, sebab orang yang cerdik, orang yang waras, tidak mungkin akan berlaku kerana yang pertama sudah ada Akta Anti lompat parti. Tahukan bawah Akta lompat parti akan menyebabkan hilang jawatan,” katanya dalam temu bual khas dengan FMT.
Mei lalu, Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria mendakwa ada beberapa Adun pemerintah menemuinya di tengah-tengah spekulasi kewujudan gerakan menumbangkan kerajaan perpaduan BN dan Pakatan Harapan (PH).
Razman bagaimanapun enggan mendedahkan nama Adun dikatakan mahu meletak jawatan menyebabkan kerajaan Perak jatuh. Ketika ini pentadbiran Saarani disokong 24 wakil rakyat PH dan sembilan BN.
DUN Perak mempunyai 59 kerusi, memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk mana-mana parti politik meraih majoriti mudah. Perikatan Nasional (PN) menang 26 kerusi pada PRU15.
Saarani berkata di sebalik gangguan nakal itu, pentadbirannya berjalan lancar dan beliau sendiri tidak terganggu daripada menjalankan tugas hakiki sebagai menteri besar untuk membangunkan negeri.
“Cuma yang digembar gemburkan kerana mereka cuba untuk menarik perhatian saya lebih bekerja ke arah politik. Sehingga saya tidak boleh beri perhatian kepada pembangunan.
“Saya sudah tidak pedulikan benda itu, saya hanya tumpu perhatian kepada tugas hakiki saya sebagai menteri besar untuk bangunkan negeri,” katanya.