
Kedua-dua pertuduhan terhadap menteri besar Kedah itu dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sanusi didakwa melakukan kesalahan itu di Simpang Empat, Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor pada 11 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan Peguam Cara Negara, Ahmad Terrirudin Salleh, manakala Sanusi diwakili peguam Shaharudin Ali.
Bagi pertuduhan pertama, Hakim Nor Rajiah Mat Zin membenarkan Sanusi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Di mahkamah berasingan, Sanusi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua membuat kenyataan dianggap menghasut yang mempunyai “kecenderungan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja”.
Hakim Osman Affendi Shalleh membenarkan ikat jamin RM5,000 dan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Okt ini.
Kedua-dua hakim juga melarang Sanusi membuat komen berhubung kes itu.