
Human Rights Watch (HRW) berkata Thuzar Maung, 46, dan suaminya serta tiga anak mereka dikhuatiri telah diculik “dalam operasi terancang” pada 4 Julai lalu, menurut saksi dan rakaman CCTV di kediaman aktivis itu di Selangor.
“Kerajaan Malaysia harus segera mengesan keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka,” kata Pengarah HRW Asia Elaine Pearson dalam kenyataan semalam.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata polis melakukan inkuiri selepas menerima laporan tentang kehilangan keluarga itu.
Tanpa huraian lanjut beliau berkata polis akan “menyiasat sebarang unsur jenayah, termasuk penculikan”.
Malaysia lantang mengkritik keganasan di Myanmar selepas tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada Feb 2021. Ia juga dikritik oleh badan-badan hak asasi kerana menghantar pulang ribuan warga Myanmar, termasuk anggota tentera yang berpaling tadah.
Thuzar, yang meninggalkan Myanmar untuk ke Malaysia pada 2015 kerana keganasan terhadap orang Islam di sana, mungkin menjadi sasaran kerana menyokong gerakan pro-demokrasi Myanmar, menurut HRW. Ia tidak menamakan pihak-pihak yang mungkin bertanggungjawab.
Thuzar mengetuai Myanmar Muslim Refugee Community dan diikuti lebih 93,000 orang di Facebook, di mana beliau kerap mengkritik penganiayaan yang didakwa dilakukan oleh junta Myanmar.
Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur telah dihubungi untuk mendapatkan komen.
Menurut HRW, rakaman CCTV menunjukkan sebuah kereta memasuki komuniti berpagar di mana keluarganya tinggal, pada 4 Julai. Pemandu beritahu pengawal keselamatan bahawa mereka adalah polis tetapi pihak berkuasa mendapati plet kenderaan kereta itu adalah palsu.
Kira-kira dua jam kemudian, seorang kawan yang sedang becakap dengan Thuzar di telefon terdengar Thuzar beritahu suaminya bahawa beberapa lelaki memasuki rumah mereka.
Kereta sama dan dua kereta milik keluarga itu dilihat meninggalkan kawasan itu tidak lama kemudian. Telefon bimbit Thuzar dan ahli keluarganya juga dimatikan, kata HRW.