Menteri cadang pinda undang-undang kecil PBT

Menteri cadang pinda undang-undang kecil PBT

Ia selepas pemilik salun rambut di Kota Bharu didenda RM100 kerana membenarkan seorang pekerja wanita memotong rambut lelaki Islam.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming meminta perbincangan diadakan untuk melihat sama ada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan boleh dipinda.
PETALING JAYA:
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mencadangkan pindaan undang-undang kecil tertentu yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan untuk mengelakkan kejadian orang bukan Islam melanggar undang-undang kecil itu.

Nga berkata, beliau meminta Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Noor Ihsan mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Rosnazli Amin untuk melihat kemungkinan untuk meminda mana-mana undang-undang kecil itu.

Beliau berkata, ini bagi mengelak kejadian seperti di sebuah salun rambut berulang.

Pada 9 Julai lalu, pihak berkuasa itu mendenda seorang pemilik salun rambut di Kota Bharu RM100 kerana membenarkan seorang pekerja wanita memotong rambut pelanggan lelaki Islam.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Kelantan, Oie Poh Choon, dipetik New Straits Times sebagai berkata pemilik salun itu membayar dendanya Rabu lalu.

Oie berkata, wanita itu didapati melanggar undang-undang kecil majlis yang menetapkan pendandan rambut wanita bukan Islam tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan gunting rambut kepada orang Islam yang berlainan jantina.

Kejadian itu berlaku sebulan selepas seorang pemilik butik bukan Islam dikenakan notis kompaun kerana memakai seluar pendek di kedainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.