
Tertuduh, Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, lapor Berita Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Dayyan Mikail Mohamad Razihan, berusia tiga tahun di sebuah rumah di Jalan PE 15, Taman Paya Emas, Cheng, Melaka, pada 6 Julai antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan.
Terdahulu, Wardah memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.
Hanif pula memaklumkan pihaknya akan menghantar surat permohonan kepada pihak pendakwaan mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan mental yang mana perkara itu sudah dibangkitkan ketika permohonan reman sebelum ini.
Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 23 Ogos ini.
Di mahkamah berasingan, ibu kandung kanak-kanak itu, Nurasyiqin Syaqiqah A Ramlee, 24, yang juga jurujual mesin penapis air mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan pengabaian atau mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau membenarkannya dianiaya dengan menyerahkannya kepada Firman.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, tarikh dan masa sama manakala pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimun 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari membantah jaminan atas alasan kes itu tidak boleh dijamin, namun memohon ditetapkan tinggi berserta syarat tambahan jika mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan jaminan.
Tertuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain merayu anak guamnya diberikan jaminan rendah kerana perlu menjaga ibunya yang sakit.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri sekali sebulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.