
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata perbincangan itu bagi menangani pihak tertentu sengaja mencetuskan provokasi melampau mengenai isu terbabit.
Beliau berkata, perbincangan itu antaranya melibatkan Majlis Peguam, badan profesional, agensi penguatkuasaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur.
“Dalam perbincangan itu, kita akan mengkaji atau buat penilaian undang-undang sedia ada (antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948). Kita akan bincang sama ada ia dah mencukupi (berkaitan isu 3R) atau sebaliknya kerana ketika ini, kesalahan melibatkan isu 3R disiasat mengikut akta lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah.
“Sebab banyak negara sekarang yang ada pelbagai kaum dan agama guna pendekatan saya sebut tadi (akta khas), contohnya Indonesia dan Australia,” katanya selepas menjadi tetamu Townhall Umno Bahagian Kota Raja “Apakah Peranan Umno Dalam Kerajaan” di sini, malam tadi.
Di negara luar, katanya, perkara itu ditangani tidak hanya dengan memfokuskan aspek jenayah, tetapi turut memberi penekanan kepada kaunseling dan pendidikan.
Sesi dialog awam itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz yang juga ketua Umno Bahagian Kota Raja serta Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.