Hamzah kecam tindakan serbu, tangkap Sanusi pada 3 pagi

Hamzah kecam tindakan serbu, tangkap Sanusi pada 3 pagi

Ketua pembangkang itu mempersoalkan tindakan polis apabila menteri besar Kedah itu sedia memberikan kerjasama.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menyifatkan tindakan polis terhadap Sanusi Md Nor sebagai ‘berlebih-lebihan dan penganiayaan yang sengaja’.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan tegas polis terhadap Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, yang didakwa pagi ini atas dua tuduhan bawah Akta Hasutan.

Hamzah menyifatkan tindakan menyerbu dan menangkap Sanusi pada 3 pagi itu adalah “perbuatan berlebih-lebihan dan penganiayaan yang sengaja dibuat hanya kerana dendam politik”.

“Apa perlunya menteri besar Kedah dilayan sebegitu rupa?” soal Hamzah, yang juga ketua pembangkang, dalam kenyataan.

“Sedangkan beliau telah pun memohon maaf dalam isu ini dan beliau juga telah menyatakan kesediaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dengan notis untuk hadir ke mahkamah juga telah diserah terima.”

“Amat jelas cara penangkapan Sanusi melampau dari kesalahan yang didakwa”.

Awal hari ini, Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua tuduhan membuat kenyataan hasutan terhadap raja.

Kedua-dua tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Okt ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain menjelaskan bahawa tindakan polis menyerbu dan menangkap Sanusi di satu lokasi di Mont Kiara dibuat selepas polis gagal menghubunginya untuk memaklumkan beliau perlu hadir ke mahkamah hari ini.

Razarudin berkata, Sanusi dan setiausahanya “menolak semua panggilan telefon” daripada polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.