Di Malaysia tak boleh cakap apa-apa, dakwa Sanusi

Di Malaysia tak boleh cakap apa-apa, dakwa Sanusi

Sanusi Nor berkata, dakwaan hasutan terhadapnya bermotifkan politik menjelang PRN enam negeri pada 12 Ogos ini.

Sanusi Nor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana membuat kenyataan hasutan terhadap raja.
SELAYANG:
Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor mendakwa kerajaan menyekat kebebasan bersuara susulan dua pertuduhan menghasut terhadap raja yang dihadapinya hari ini.

Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan hasutan di mahkamah berasingan berkaitan ucapannya dalam sebuah ceramah di Gombak pada 11 Julai lalu.

Kedua-dua hakim juga melarang Sanusi membuat komen berhubung kes itu.

Bercakap di luar mahkamah, Sanusi mendakwa pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik menjelang PRN enam negeri pada 12 Ogos ini.

“Nampaknya di Malaysia ini tak boleh cakap apa-apa.

“Kalau di medan politik, biasanya orang selesaikan masalah politik dengan memberikan hujah balas. Tetapi di Malaysia pada hari ini, kerana kita ada kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan kita.

“Semua agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan dan kehangatan (perbincangan) rakyat.

“Saya yakin dengan pendakwaan ini, rakyat Malaysia memahami tujuan, hasrat sebenar mereka (kerajaan).”

Sanusi mendakwa siasatan kesnya dipercepatkan dengan hanya mengambil masa tiga hari.

Katanya, beliau hanya tahu akan didakwa di mahkamah melalui media, selain pihak berkuasa menahannya awal pagi tadi walaupun selepas memaklumkan dirinya akan hadir ke mahkamah.

“Saya dah maklum kepada beberapa pihak, saya akan hadir di mahkamah pagi ini, tapi mereka tetap nak buat tangkapan pada jam 3 pagi di apartmen yang saya diami di Kuala Lumpur.

“Saya beri kerjasama sepenuhnya daripada awal proses ini berjalan sehingga siasatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.