Saya sendiri undur, bekas Adun Dengkil nafi tak dicalon kerana isu dadah

Saya sendiri undur, bekas Adun Dengkil nafi tak dicalon kerana isu dadah

Adhif Syan Abdullah mahu tumpu kepada keluarga terutama anak dan ibunya yang kurang sihat.

Adhif Syan Abdullah terkejut dengan pemilihan Jamil Salleh sebagai calon PN di DUN Dengkil pada PRN Selangor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah menafikan beliau tidak dicalonkan Perikatan Nasional (PN) pada PRN kerana terpalit dakwaan penyalahgunaan dadah tiga tahun lalu.

Bekas ketua Pemuda Bersatu Selangor itu sebaliknya berkata, beliau sendiri menyatakan hasrat berundur kepada Presiden Muhyiddin Yassin, kerana mahu memberi tumpuan kepada anak dan ibunya yang kurang sihat.

Menurutnya, kes berlaku Januari 2020 itu telah selesai dan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut selepas ujian mendapati beliau tidak mengambil sebarang bahan terlarang.

“Cuma saya nak fokus kepada keluarga sebab anak tak berapa sihat, mak pun tak berapa sihat jadi tanggungjawab itu berat bagi saya.

“Tan Sri (Muhyiddin) pada mulanya berat dan tak setuju, tetapi lepas saya terangkan situasi saya beliau izinkan (berundur),” katanya kepada FMT.

Misi mempertahankan Dengkil untuk PN akan digalas bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jamil Salleh yang diumumkan Muhyiddin malam tadi.

Bersara daripada perkhidmatan awam empat tahun lalu, Jamil menggantikan Adhif yang menang di DUN Dengkil dengan majoriti 6,934 undi pada PRU14.

Adhif berharap pengalaman Jamil memimpin kementerian besar seperti KPDNHEP mampu memberi kelebihan kepada parti untuk mengekalkan kemenangan di DUN berkenaan.

“Beliau bekas penjawat awam dan faham bagaimana proses pentadbiran berjalan. Saya yakin beliau mampu galas tanggungjawab berat menjaga hampir 100,000 pengundi Dengkil,” katanya yang akan membantu kempen parti pada PRN bulan depan.

“Ini kampung saya, tempat membesar dan bekerja, saya takkan berhenti membantu parti dan rakyat di kawasan ini.”

Beliau tidak menolak akan kembali ke arena politik pada PRU16, selain merancang melanjutkan pelajaran dalam tempoh “berehat” itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.