Isu Sanusi belum selesai, titah Sultan Selangor

Isu Sanusi belum selesai, titah Sultan Selangor

Menteri besar Kedah sebelum ini dilaporkan membuat ucapan dianggap menghina institusi beraja di Selangor dan turut disiasat berhubung kesalahan 3R.

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengadakan pertemuan berasingan dengan pesuruhjaya PAS Selangor dan ketua polis Selangor hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Isu berhubung kenyataan Sanusi Md Nor yang dianggap menghina institusi diraja apabila memperlekeh pelantikan menteri besar “masih belum selesai”, walaupun pemimpin PAS itu sudah memohon ampun, titah Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian selepas pertemuan berasingan dengan Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

“Pertemuan secara berasingan ini membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi diraja Selangor.

“Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” menurut kenyataan Istana Selangor di Facebook.

Terdahulu, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional dilaporkan membuat ucapan pada sebuah ceramah seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis, termasuk Ahli Dewan Diraja Selangor Emran Kadir yang menyifatkan kenyataan Sanusi menghina institusi beraja di Selangor, memandangkan Sultan mempunyai prerogatif dalam pelantikan menteri besar.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat Sanusi bagi kesalahan berkait 3R (kaum, agama, institusi diraja).

Pada Sabtu, Sanusi berkata, beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dan memohon ampun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.