Bekas DJ Ismahalil bebas hukuman gantung

Bekas DJ Ismahalil bebas hukuman gantung

Hakim berkata pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan dan milikan terhadap dadah dalam sebuah beg yang berada dalam sebuah bilik di rumah sewanya.

Pada 21 Feb lalu, Ismahalil Hamzah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, pada 5.35 petang 27 Ogos 2021. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6g dua tahun lalu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Ismahalil, 40, yang berada dalam kandang tertuduh menangis dan melakukan sujud syukur selepas keputusan dibacakan Jamil.

Kelihatan keluarganya yang berada di galeri awam turut berpelukan susulan keputusan itu, menurut Berita Harian.

Dalam keputusan ringkasnya, Jamil berkata pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh mempunyai kawalan dan milikan terhadap dadah dalam sebuah beg yang berada dalam sebuah bilik di rumah sewanya.

Pendakwaan juga gagal membuktikan hanya Ismahalil seorang yang mempunyai akses terhadap bilik itu, di mana terdapat individu lain termasuk penyampai radio Bapakku FM, kru dan tetamu juga mempunyai akses sama.

Pada 21 Feb lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6g di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, pada 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.