Kuasa raja beri tauliah pada ulama, bukan PM, kata Anwar

Kuasa raja beri tauliah pada ulama, bukan PM, kata Anwar

Perdana menteri berkata walaupun beliau mempunyai pelbagai kuasa namun dalam soal agama Islam, kuasa itu terletak pada Raja-Raja Melayu.

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan beliau sebagai punca ada sebilangan tokoh agamawan dan ulama Islam di negara ini tidak mendapat tauliah untuk memberi ceramah di masjid. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Pemberian tauliah kepada tokoh agamawan dan ulama Islam di negara ini adalah di bawah perkenan Raja-Raja Melayu dan bukan kuasa perdana menteri seperti yang didakwa oleh segelintir pihak, kata Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun perdana menteri mempunyai pelbagai kuasa namun dalam soal agama Islam, kuasa itu terletak pada Raja-Raja Melayu.

“Mereka kata sebab Anwar jadi perdana menteri, ada orang tak dapat tauliah. Dengar baik-baik. Ada orang akan dapat tauliah dia. Bukan keputusan saya. Ini keputusan Raja-Raja Melayu.

“Saya tidak mencampuri urusan siapa dapat tauliah, siapa tak dapat tauliah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan.

Katanya, keputusan Raja-Raja Melayu adalah tidak mengizinkan masjid menjadi gelanggang politik sebaliknya ia hanya boleh digunakan untuk dakwah dan tazkirah.

Anwar berkata beliau sentiasa menghormati keputusan Raja-Raja Melayu walaupun pernah merayu untuk memberikan pentauliahan kepada beberapa ulama.

“Saya kena hormat, perdana menteri ini kuasa dia banyak tapi ada juga kuasa kerajaan negeri, ada Raja-Raja Melayu yang menetapkan.

“Jadi yang tidak dapat tauliah, kita buat rayuan kepada Raja. Jangan pi (pergi) kecam perdana menteri. Hang (awak) tak reti (faham) undang-undang,” katanya.

Anwar juga berkata selain pembangunan masjid, pihak pengurusan premis itu juga harus memberi perhatian kepada kebertanggungjawaban terhadap anggota kariah terutama golongan fakir atau miskin tegar.

Sehubungan itu, beliau meminta ketua kampung, penghulu dan jawatankuasa ranting serta cawangan (parti) untuk mengemukakan senarai keluarga miskin tegar kepada pejabat pegawai daerah supaya pegawai daerah boleh membantu mereka sekali gus menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

Anwar, yang merupakan anak kelahiran Sungai Bakap, turut mengumumkan peruntukan RM7 juta bagi pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap yang wujud sejak 1798.

Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap merupakan antara tujuh masjid yang telah diperuntuk pembiayaan oleh kerajaan Pulau Pinang dengan jumlah keseluruhan RM18 juta.

Enam lagi ialah Masjid Papan di Seberang Jaya, Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth, Masjid Bandar Raya Seberang Perai, Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.