
Saifuddin berkata kerajaan tiada kuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok di negara ini kerana media sosial itu dimiliki oleh Bytedance.Ltd sebuah firma teknologi dari China.
“Kerajaan Malaysia ada kuasa ‘ban’ (sekat) akaun TikTok kita? Jawabnya tidak,” kata Saifuddin di Facebook.
Katanya, TikTok sama seperti platform media sosial lain yang tertakluk dengan peraturan yang ditetapkan oleh pemiliknya.
“Kalau TikTok terima banyak ‘report’ (laporan) dan aduan oleh pengguna lain, maka TikTok akan ‘ban’ akaun yang menjadi isu itu.
“Kiranya yang ‘ban’ TikTok kita ialah ‘publik’ (orang awam) bukannya kerajaan. ‘Publik’ buat aduan dan TikTok ‘ban’. Kita (kerajaan) pun banyak kerja lain,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Sanusi mendakwa Malaysia mahu bergerak menjadi seperti Korea Utara di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas akaun TikTok miliknya disekat.
Akaun TikTok Sanusi yang mempunyai 432,700 pengikut itu dilaporkan tidak boleh diakses sejak semalam.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan tindakan berkenaan seolah-olah kerajaan takut kebebasan media, sekali gus menyebabkan beliau serta PN tidak mampu menangkis serangan dimainkan oleh pihak lawan.