
Setiausaha Kerja Bersatu Titiwangsa Thaqib Shaker berkata Najwan wajar disiasat atas kenyataan rasis terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calonnya di DUN Meru Sivaranjani Manickam, Jumaat lalu.
Menurutnya, Najwan yang memohon maaf pada hari sama tidak harus terlepas daripada tindakan, sama seperti kes Sanusi yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“(Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mengatakan pada kes sanusi, mohon maaf tak selesaikan tindakan undang-undang dan polis bebas siasat Sanusi.
“Jadi saya nak cakap mohon maaf tak selesai kesalahan, mohon polis bebas siasat Najwan,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Najwan di IPD Shah Alam.
Sementara itu, Thaqib dalam laporan polis terhadap Najwan berkata apa sahaja yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak boleh dijadikan bahan gurauan sama sekali.
“Kenyataan itu boleh menyebabkan tercetusnya perbalahan antara kaum sekaligus menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Menurutnya lagi, laporan itu dibuat sebagai solidariti terhadap PSM serta menunjukkan kebencian mereka pada perkauman.
Jumaat lalu, Najwan tidak lama selepas didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap PSM memohon maaf melalui setiausaha agung parti itu A Sivarajan.
Najwan mengakui kenyataannya tidak wajar dan mengundang salah faham.