Sogok penguat kuasa seludup sisik tenggiling, 4 direman SPRM

Sogok penguat kuasa seludup sisik tenggiling, 4 direman SPRM

Semua suspek turut disyaki terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Suspek berusia antara 30 hingga 50an direman bermula hari ini kerana disyaki menyogok penguatkuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
PETALING JAYA:
Empat lelaki direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Majistret A Karthiyayini mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap tiga daripada suspek manakala seorang lagi direman dua hari sehingga 16 Julai ini.

Menurut sumber, semua suspek berusia antara 30 hingga 50an itu dipercayai ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

“Sindiket berkenaan ditumpaskan hasil serbuan dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Ops Jaguar di sebuah premis di Klang, Selangor dan Kuala Lumpur semalam.

“Serbuan turut merampas hampir dua tan sisik tenggiling yang bernilai kira-kira RM23.4 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengesahkan penahanan itu berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.