Pusingan-P ganti pusingan-U di Lebuh Raya Pan Borneo

Pusingan-P ganti pusingan-U di Lebuh Raya Pan Borneo

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kaedah itu bagi mengurangkan risiko kemalangan di lebuh raya itu.

Antara pusingan-P yang terdapat di Lebuh Raya Pan Borneo. (Gambar PWD)
PETALING JAYA:
Pusingan-P akan diperkenalkan di Lebuh Raya Pan Borneo bagi mengurangkan risiko kemalangan, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Katanya, pusingan-P akan menggantikan kaedah konvensional pusingan-U di lebuh raya tersebut. Lebih 200 pusingan-P dijangka akan dibina.

Fadillah berkata, satu program kesedaran keselamatan jalan raya juga akan dijalankan bagi membolehkan pengguna menyesuaikan diri ketika melalui lebuh raya itu yang dalam peringkat akhir pembinaan itu.

“Pan Borneo merupakan lebuh raya pertama di Sarawak yang merupakan jalan empat lorong dan dua hala di mana kita melihat kejadian kemalangan agak banyak berlaku,” katanya lapor Bernama.

Katanya, menurut statistik sebanyak 355 kes kemalangan maut telah dilaporkan antara Januari dan Jun tahun ini, yang angkanya dianggapnya membimbangkan.

Menurutnya, sikap pengguna yang memandu melebihi had laju, melawan arus selain memintas penghadang jalan kerana mahu tiba cepat ke destinasi menjadi beberapa lagi punca kemalangan di lebuh raya itu.

Fadillah berkata beliau diarahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya membantu Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi bagi mencari kaedah untuk mempercepatkan lagi penyiapan lebuh raya berkenaan.

Menurutnya dua daripada tiga seksyen pembinaan lebuh raya itu dijadualkan siap sebelum penghujung tahun ini yang terdiri dari Seksyen Sarikei dan Bukit Begunan, sementara Seksyen Lambir berdekatan Miri bakal disiapkan tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.