Dedah butiran konsesi MyEG, kerajaan diberitahu

Dedah butiran konsesi MyEG, kerajaan diberitahu

Kewujudan pelbagai penyedia perkhidmatan akan menggalakkan persaingan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, kata badan antirasuah dan ahli ekonomi.

MyEG mengumumkan pada 7 Julai bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk ia terus bertindak sebagai ejen kutipan hasil kerajaan.
PETALING JAYA:
Kerajaan harus menjelaskan mengapa MyEG Services Bhd baru-baru ini diberi ‘lampu hijau’ untuk terus menjadi ejen kutipan hasilnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata kerajaan harus mendedahkan kaedahnya dalam membuat keputusan itu.

Menurutnya, Putrajaya juga harus menjelaskan mengapa kontrak MyEG untuk menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi Jabatan Imigresen dilanjutkan walaupun kerajaan telah mengumumkan ia bakal diletakkan di bawah seliaannya menjelang 2025.

“Perlu ada ketelusan dalam proses pelantikan,” kata Pushpan kepada FMT.

“Banyak isu yang kita hadapi sebagai sebuah negara (berpunca daripada) hakikat bahawa pelantikan vendor dan penyedia perkhidmatan sentiasa dilakukan secara rahsia.”

Tambahnya, kewujudan pelbagai penyedia perkhidmatan akan menggalakkan persaingan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia pula bersetuju, dengan menyatakan kemasukan lebih banyak penyedia perkhidmatan akan menjadikannya lebih mudah diakses oleh orang ramai dan menggalakkan penyediaan perkhidmatan lebih murah dan pantas.

Pakar ekonomi itu berkata ia juga akan membantu meningkatkan kutipan hasil merentas perkhidmatan kerajaan.

“Ia juga penting bahawa konsesi ini bukan monopoli atau kartel persendirian,” kata Williams.

Beliau menambah bahawa kerajaan harus membenarkan pihak berkuasa dan Ahli Parlimen meneliti proses penganugerahan apabila diminta berbuat demikian.

Pada 7 Julai, MyEG mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju melanjutkan pelantikan syarikat itu sebagai ejen kutipan hasil kerajaan.

Penyedia perkhidmatan e-kerajaan itu berkata perbincangan sedang berjalan mengenai syarat lanjutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.