RM188 billion peruntukan Bajet 2023 dah dibelanja, kata PM

RM188 billion peruntukan Bajet 2023 dah dibelanja, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, jumlah yang dibelanjakan setakat bulan lepas itu merangkumi 49% daripada peruntukan belanjawan persekutuan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berkata, bagi tempoh yang sama tahun lepas, sebanyak RM170 bilion daripada peruntukan Bajet 2022 dibelanjakan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Sebanyak RM188 bilion atau 49% daripada peruntukan Bajet 2023 telah dibelanjakan setakat Jun lepas, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, bagi tempoh yang sama tahun lepas, sebanyak RM170 bilion daripada peruntukan Bajet 2022 dibelanjakan.

“Sungguhpun lebih baik daripada 2022, namun pada saya, boleh lebih baik dan projek-projek cakna rakyat perlu ditingkatkan dan disegerakan pelaksanaannya.

“Tapi belum cukup memuaskan kerana kita harus mencapai 60% sebelum Ogos,” katanya semasa berucap pada Majlis Libat Urus Beajet 2024 bertemakan “Memperkasa Malaysia Madani”.

Bajet 2023 memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Anwar berkata, kerajaan telah melaksanakan pemusatan kuasa, peruntukan tambahan dan memberi kelonggaran tatacara perolehan yang boleh mempercepat pelaksanaan projek.

Antaranya, projek bernilai RM50 juta yang diserahkan pelaksanaannya kepada Jabatan Teknik Sabah dan Sarawak; peruntukan RM100,000 kepada semua jurutera daerah untuk melaksanakan pembaikan kecil di peringkat daerah; dan peruntukan khusus RM200 juta untuk Kor Kejuruteraan tentera melaksanakan baik pulih kuarters.

Anwar berkata, esok beliau akan mengumumkan berkenaan peruntukan kepada Pasukan Gerakan Am dan perumahan polis.

Beliau turut mengumumkan pertambahan peruntukan untuk pelaksanaan projek kecil bawah pihak berkuasa tempatan sebanyak RM100 juta, menjadikan keseluruhan RM400 juta untuk 2023.

Selain itu, peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah bawah Kementerian Pendidikan juga ditambah sebanyak RM600 juta, menjadikan jumlah keseluruhan untuk tahun ini sebanyak RM1.5 bilion.

Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju menyalurkan sebahagian peruntukan penyelenggaraan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi melaksanakan projek penyelenggaraan kecil di sekolah kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.