
Beliau berkata menjayakan reformasi merupakan usaha berterusan, meskipun pendekatan yang diambil disesuaikan mengikut keadaan.
“Bahaya kalau saya cakap saya sudah berpuas hati. Ertinya setakat ini sahaja sedangkan reformasi bukan ‘perubahan kepimpinan’,” katanya dalam temubual FMT.
Adam Adli Abdul Halim Adam menerjah ke arena politik seawal 2012 lagi, apabila beliau menurunkan bendera memaparkan wajah Najib Razak di ibu pejabat Umno ketika tunjuk perasaan mengenai kebebasan akademik.
Selepas menyertai PKR pada 2021 dan kemudian memenangi Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU15, Adam dilantik menjadi timbalan menteri belia dan sukan oleh pentadbiran Anwar Ibrahim. Beliau sedar media akan mempersoalkan ke mana perginya aktivis yang lantang mengkritik pemerintah.
“Ini bukan soal terikat. Kita ada kebertanggungjawaban,” katanya. “Sistem ini bukan hanya ahli politik. Kita menghadap sistem. Kita ada akta yang mengikat satu-satu perkara, kita ada kuasa menteri dan sebagainya. Bukan perkara yang mudah untuk kita rungkai.”
Tegasnya, menonjolkan ketertiban selaku anggota pentadbiran bukan bermakna cita-cita reformasi terpadam.
“Saya tak nak sentuh tanggungjawab kementerian lain. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab,” katanya. “Saya yakin, secara asasnya, tak ada siapa pun yang berubah dari segi pendirian.”
Kritik pemerintah secara adil
Menjawab kritikan terhadap pentadbiran semasa, yang dituduh melengah-lengkah tindakan terhadap pihak yang disyaki rasuah, Adam meminta pengkritik supaya mengkritik secara adil.
Mengambil contoh kritikan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung skandal projek kapal tempur pesisir (LCS), Adam berkata perdana menteri sudah nyatakan bahawa siasatan harus diteruskan.
“Punca hal ini bukan soal kerajaan tak bertanggungjawab terhadap LCS tapi soal usul Syed Saddiq ditolak dalam Parlimen,” katanya.
Projek LCS mendapat perhatian pada tahun lalu selepas Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mendedahkan tiada satu pun kapal disiapkan walaupun kerajaan sudah membelanjakan RM6.08 bilion.
Syed Saddiq, yang tidak berpuas hati apabila usul beliau yang mahu membahaskan isu itu di Dewan Rakyat ditolak, mendakwa Speaker Johari Abdul menganggap ia “bukan soal kepentingan orang ramai” dan “bukan keperluan mendesak”. Johari menjelaskan usul ditolak kerana PAC belum mengeluarkan laporan mengenai perkembangan terbaru isu berkenaan.
Ditanya tentang keputusan Muda untuk menyertai PRN tidak lama lagi, Adam sekadar menjawab “apabila kita masuk pilihan raya kita tak boleh semata-mata sebab ‘saya tidak dapat jawaban yang saya mahukan’ atau ‘surat saya tidak dibalas’.”
“Itu bukan kepentingan masyarakat. Itu kepentingan parti,” katanya.