Keputusan mahkamah atas undang-undang pencen beri veteran tentera harapan

Keputusan mahkamah atas undang-undang pencen beri veteran tentera harapan

Pesara tentera berkata, perbezaan pencen menyebabkan ramai daripada mereka hidup di bawah garis kemiskinan.

Terdapat set undang-undang berbeza yang mengawal pencen perlu dibayar kepada anggota tentera dan penjawat awam, kata Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia.
PETALING JAYA:
Pesara tentera percaya keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini membatalkan pindaan 10 tahun lalu terhadap undang-undang mengawal pencen perkhidmatan awam akan meningkatkan gesaan mereka untuk menambah baik kebajikan veteran.

Ini biarpun terdapat set undang-undang berbeza yang mengawal pencen perlu dibayar kepada anggota tentera dan penjawat awam, kata Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM).

“Keputusan Mahkamah Persekutuan tiada kaitan dengan kami. Kerajaan hanya meminda Akta Pelarasan Pencen 1980.

“Apabila penjawat awam diberi 2%, peraturan kami tidak dipinda, tetapi kami diminta mengikut kenaikan 2% yang sama,” kata Presiden PSPRM, Mior Rosli Mior Jaafar kepada FMT.

Bagaimanapun, Mior Rosli berkata, angkatan tentera tidak diwajibkan mengikut arahan itu kerana keputusan Mahkamah Rayuan pada 2019 menjelaskan peraturan digubal oleh Majlis Angkatan Tentera lebih diutamakan daripada arahan kerajaan untuk angkatan tentera.

“Pada asasnya, penghakiman pada 27 Jun boleh digunakan untuk kes yang kami failkan di mahkamah bagi melindungi pencen dan kebajikan rakan veteran.”

Mior Rosli Mior Jaafar.

Kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi mulai 28 Ogos ini.

Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia, Lt Jen Nawi Alias berkata, perbezaan pencen itu menyebabkan ramai veteran hidup di bawah garis kemiskinan.

“Saya mengenali seorang kapten bersara yang dapat tidak sampai RM2,000 sebulan dan seorang jeneral yang bersara sebelum saya, mendapat pencen kurang daripada saya kerana perbezaan ini. Ini tidak adil.”

Bekas pengerusi Jawatankuasa Khas Veteran itu berkata, menyelesaikan perbezaan pencen itu akan memberi semangat kepada kira-kira 78,500 veteran bersara.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan adalah rahmat terselindung. Apa yang dilakukan pesara perkhidmatan awam adalah apa yang kami mahu capai untuk veteran kita.”

Nawi menyeru kerajaan mematuhi Akta Angkatan Tentera 1972 dan Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982.

Bulan lalu, mahkamah tertinggi itu membatalkan pindaan diluluskan Parlimen pada 2013 yang memperkenalkan skim baharu penetapan kenaikan pencen pesara pada kadar tetap 2% setiap tahun.

Mahkamah berkata, pindaan terbabit meletakkan bekas penjawat awam itu dalam “kedudukan kurang baik” berbanding anggota sedang berkhidmat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sejak itu berjanji kerajaan akan meneliti perkara terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.