Disyaki seludup warga asing, 3 termasuk penguat kuasa ditahan

Disyaki seludup warga asing, 3 termasuk penguat kuasa ditahan

Anggota penguat kuasa berusia 35 tahun bertugas di Tawau itu antara tiga suspek dipercayai menerima rasuah RM12,000.

Ketiga-tiga suspek akan ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, kata Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy.
PETALING JAYA:
Tiga suspek termasuk seorang penguat kuasa ditahan selepas dipercayai menerima rasuah RM12,000 untuk melepaskan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Semua suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dengan kerjasama polis semalam, lapor Harian Metro.

Menurut sumber, anggota penguat kuasa berusia 35 tahun bertugas di Tawau itu dipercayai bersubahat dengan dua lelaki berusia antara 40 hingga lewat 50-an yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing tanpa dokumen perjalanan sah.

Mereka ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira 6 petang.

Warga Indonesia terbabit dipercayai keluar dari Tawau ke Kuala Lumpur tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy yang mengesahkan tangkapan berkata, semua suspek akan ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.