Buat laporan palsu disamun, wanita didenda RM1,800

Buat laporan palsu disamun, wanita didenda RM1,800

Tertuduh didapati membuat laporan polis palsu mendakwa disamun di tepi Jalan Juasseh, Kuala Pilah oleh dua lelaki.

Tertuduh Hafeeza Syuhada Abdul Rahim mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas tuduhan membuat laporan polis palsu. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang wanita didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu konon disamun.

Tertuduh yang juga suri rumah Hafeeza Syuhada Abdul Rahim, 37, dari Bandar Seri Jempol membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Tertuduh didapati membuat laporan polis palsu mendakwa disamun di tepi Jalan Juasseh, Kuala Pilah oleh dua lelaki.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 1.51 tengah hari pada 11 Julai lalu di Balai Polis Kuala Pilah, menurut Harian Metro.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.