SPR bincang tarikh PRK Kuala Terengganu pada Selasa

SPR bincang tarikh PRK Kuala Terengganu pada Selasa

Mesyuarat itu akan menetapkan antaranya tarikh penamaan calon dan pengundian.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak, berkata mesyuarat itu susulan pembatalan keputusan pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Selasa bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kuala Terengganu.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak, berkata ia selepas pihaknya menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berhubung keputusan mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu, pada 19 Nov lalu.

“Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dan membincangkan urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut…satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat,” katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim mewakili PAS di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.

Hakim Mohd Firuz Jaffril berkata, pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Beliau berkata, walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan pilihan raya di Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Pada PRU15, Ahmad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Zubir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.