
Perdana menteri berkata, daripada dua pilihan itu, kerajaan “memilih” bersama rakyat.
“Kita terpaksa berdepan masalah kejatuhan ringgit antara lain kerana kadar faedah kita rendah, kalau kerajaan naikkan kadar faedah rakyat akan terbeban, kalau kerajaan turunkan kadar faedah ringgit jatuh.
“Antara ringgit jatuh dengan beban kepada rakyat kerajaan pilih untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Cakna Madani bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Katanya, antara cabaran lain terpaksa dihadapi kerajaan ialah mewarisi keadaan hutang negara terlalu tinggi sehingga RM1.5 trilion.
“Tetapi, berita baiknya suku tahun pertama pelaburan tinggi RM7.1 bilion, pertumbuhan ekonomi negara lebih tinggi dari Singapura, China, dan Indonesia 5.6%…inflasi tiap bulan kian rendah 28%, serta pengangguran berkurangan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa skim saraan perkhidmatan awam bersama Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamad.
“Kita akan melihat keupayaan kerajaan bagaimana nak perbaiki dan tingkatkan, saya akan cadang peningkatan itu berperingkat melihat kepada keupayaan ekonomi,” katanya.