
Katanya, beliau berkesempatan bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Wilayah Tesla Isabel Fan.
“Menerusi perbincangan ini, pelbagai perincian serta perancangan telah diutarakan oleh pihak Tesla,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, ekosistem kondusif dan pengukuhan polisi kerajaan yang menekankan peralihan kepada teknologi hijau, memberikan keyakinan kepada syarikat kenderaan elektrik (EV) mega itu untuk melabur di Malaysia.
“Jutaan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) serta pihak berkaitan atas usaha berterusan merancakkan pelaburan di Malaysia.
“Semoga segala yang direncanakan akan membuahkan hasil, terutamanya dalam meningkatkan peluang pekerjaan serta keterlibatan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan pihak Tesla sama ada di peringkat domestik atau global. Insya-Allah,” katanya.
Turut hadir pada pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Mida Arham Abdul Rahman.