
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, walaupun beliau telah mengesahkan dengan J-Kom dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bahawa angka dalam infografik itu tepat, poster itu mungkin “tidak kena”.
“J-Kom perlu menyemak semula modus operandinya dan menambah baik bidang utama tertentu.
“Kami akan mengadakan perbincangan dalaman mengenai perkara ini,” kata Fahmi pada sidang media selepas Persidangan Global Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari di Bangi.
Warganet semalam membidas J-Kom kerana mendakwa isi rumah seramai empat orang mampu bertahan dengan perbelanjaan dapur sebanyak RM391 sebulan.
Dalam satu infografik, J-Kom menyenaraikan enam barangan yang boleh dibeli oleh empat sekeluarga dengan pendapatan minimum RM1,500, termasuk dua ekor ayam dengan harga RM37.60, dan dua kampit beras 10kg (RM38/beg).
Infografik J-Kom itu diterbitkan selepas Kosmo melaporkan bahawa sebuah keluarga dengan empat ahli kini akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk membeli barangan dapur, berbanding RM200 sebelum ini.
Susulan itu, banyak komen dan hantaran di media sosial dibuat mengenai kos sara hidup yang tinggi, berdasarkan laporan tersebut.
Fahmi kemudian meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyiasat hantaran-hantaran tersebut kerana dilihat serupa antara satu sama lain.
Kementerian kaji undang-undang banteras buli siber
Fahmi juga berkata, kementeriannya sedang mengkaji sama ada negara perlu memperkenalkan undang-undang khusus untuk memerangi buli siber.
Beliau berkata, walaupun proses menggubal undang-undang baharu lazimnya mengambil masa sehingga tiga tahun, ia perlu dipercepat memandangkan bilangan pengguna media sosial semakin meningkat
“Ada justifikasi untuk kami bertindak pantas dalam isu seperti ini (buli siber),” katanya.
“Dari semasa ke semasa, lebih ramai orang akan menggunakan media sosial, sekali gus meningkatkan kebarangkalian buli siber dan gangguan siber.”
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mengalu-alukan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi institusi) Azalina Othman Said untuk mendenda mereka yang mempermainkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Malam tadi, Azalina berkata, tindakan seperti mengeluarkan denda mungkin cara yang lebih baik untuk menangani isu 3R berbanding mendakwa bawah Akta Hasutan.