Guru didakwa gigit murid masih bertugas, kata jabatan

Guru didakwa gigit murid masih bertugas, kata jabatan

Siasatan kes oleh Kementerian Pendidikan masih berjalan sebelum sebarang tindakan diambil.

Murid itu trauma ke sekolah selepas didakwa menjadi mangsa gigitan di bahagian bibirnya oleh seorang guru.
KOTA BHARU:
Seorang guru dikaitkan dengan dakwaan menggigit muridnya di sebuah sekolah di Kelantan baru-baru ini, disahkan masih bertugas seperti biasa.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd Hassany Hashim, berkata kes itu setakat ini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata, JPN memberi kerjasama penuh kepada KPM, termasuk memberi laporan berkaitan mengikut prosedur ditetapkan, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu sehingga tular di media sosial.

“Setakat ini, JPN menunggu arahan selanjutnya daripada KPM sehingga siasatan tamat. Kita juga tidak mahu mengulas lebih lanjut, kerana khuatir ia akan menjejaskan siasatan sedang dilakukan.

“Malah, pihak sekolah, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan wakil jabatan, telah mengadakan pertemuan dengan ibu bapa murid berkenaan, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2022 di Sekolah Kebangsaan Padang Garong (1).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang ibu yang tular di media sosial, anak lelakinya berusia enam tahun digigit seorang guru di bahagian bibirnya sekali gus mengakibatkan kanak-kanak itu trauma untuk ke sekolah.

Dakwa wanita berkenaan, kejadian itu bukan sahaja melibatkan anak lelakinya, tetapi beberapa murid lain turut menjadi mangsa dengan digigit di bahagian mulut, tangan, hidung dan telinga.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa dan jabatan untuk menyiasat kes itu.

Malah, segala siasatan mesti mengikut saluran serta proses yang betul iaitu mempunyai aduan, siasatan serta ketelusan dan pihak kementerian sedang menanti keputusan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.