Dakwaan rasuah di KLIA, SPRM ambil keterangan 31 individu

Dakwaan rasuah di KLIA, SPRM ambil keterangan 31 individu

Azam Baki berkata, ia termasuk tiga saksi bagi membantu siasatan.

Azam Baki berkata, pihaknya masih mengesan individu dikatakan bertindak sebagai ejen kepada warga China cuba memasuki Malaysia menerusi KLIA bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 31 individu dirakam keterangan berhubung dakwaan rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota imigresen di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata, ia termasuk tiga saksi bagi membantu siasatan.

“SPRM masih mengesan individu yang dikatakan bertindak sebagai ejen kepada wanita warga China cuba memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.

“Setakat ini, kita belum dapat menemuinya,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Azam pada Ahad lalu berkata, siasatan awal mendapati individu dilaporkan menerima bayaran RM18,000 untuk membawa masuk wanita warga China menerusi KLIA adalah lelaki bukan warganegara Malaysia.

Katanya, SPRM mempunyai butiran individu itu, tetapi belum dapat mengesan kedudukannya ketika ini.

Akhir bulan lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengakui beliau ialah menteri dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membantu seorang warga China ditahan daripada memasuki Malaysia.

Beliau turut mendakwa wujud budaya rasuah dalam segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa “kronik” di pintu masuk negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.