
Anwar memaklumkan tentang perkara itu selepas sesi dialog bersama agensi penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Anwar pertama kali memaklumkan perkara itu pada Jumaat minggu lepas dengan berkata, beliau akan bertemu dengan Musk minggu ini bagi meneroka cara untuk syarikat kenderaan elektrik utama itu menambah pelaburan di Malaysia.
Pada 1 Mac Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kementeriannya telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan bateri elektrik ke Malaysia.
Beliau berkata, Tesla akan membuka ibu pejabat di Malaysia selain memperkenalkan pusat servis dan mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger.
Pada masa ini, pusat servis rasmi Tesla yang terdekat terletak di Singapura dan pemilik menerusi program pajakan Greentech menghantar kenderaan mereka ke Hong Kong untuk kerja-kerja utama.
Sementara itu, ahli ekonomi yakin pertemuan antara Musk dengan Anwar akan mewujudkan reaksi rantaian dalam usaha negara menjadi hab kenderaan elektrik (EV) di rantau ini.
Profesor Ekonomi Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata, perbincangan yang membuahkan hasil antara syarikat EV global dan pemimpin Malaysia itu juga akan membawa komitmen seterusnya yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara amnya.