10,000 mohon ulang SPM, baki 20,000 dijejak, kata menteri

10,000 mohon ulang SPM, baki 20,000 dijejak, kata menteri

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata 20,000 lagi calon tercicir SPM sedang dikesan keberadaan mereka.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Kolej Tingkatan Enam kini dijenamakan kepada Kolej Pra-Universiti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan sudah mengenal pasti 10,000 pelajar tercicir untuk mengulang semula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh pelajar berkenaan hasil tinjauan pihak kementerian.

“Kita sudah pun kenal pasti, 10,000 daripada mereka membuat permohonan mengulang SPM dan 20,000 lagi sedang dikenalpasti untuk mendapatkan maklumat penuh di mana mereka berada.

“10,000 ini terdiri daripada lepasan SPM daripada pelbagai tahun,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di Selayang.

Fadhlina berkata, ramai pelajar tercicir masih berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kolej Tingkatan Enam kini dijenamakan Kolej Pra-Universiti berkuat kuasa serta merta termasuk diberikan autonomi tertentu.

Katanya, selain itu jawatan pengetua akan ditukar kepada pengarah; penolong kanan digantikan dengan timbalan pengarah, manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar.

“Nama jawatan guru akademik Tingkatan Enam kepada pensyarah tidak membabitkan perubahan gred perjawatan mahupun kelayakan akademik.

“Melalui penjenamaan yang berkuat kuasa serta merta ini, pengarah Kolej Pra-Universiti juga diberi autonomi bagi pengambilan pelajar Tingkatan Enam secara terus jika masih ada kekosongan.

“Pengarah akan mengenal pasti pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian dan boleh menggunakan kuasa autonomi untuk membuat tawaran sendiri secara terus kepada murid berkenaan,” katanya memetik Harian Metro.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.