Tiada laporan diterima berkait dakwaan guru gigit murid, kata polis

Tiada laporan diterima berkait dakwaan guru gigit murid, kata polis

Polis meminta keluarga murid yang mendakwa menjadi mangsa membuat laporan supaya tindakan dapat diambil.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata jika benar kejadian itu berlaku, ibu bapa murid tersebut diseru tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Tiada laporan polis diterima berkaitan dakwaan seorang murid sekolah yang didakwa digigit oleh guru di Kelantan baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata hasil semakan dibuat melalui ketua polis daerah di negeri ini turut mendapati tiada laporan yang dibuat setakat ini.

“Sekiranya benar kejadian itu berlaku, ibu bapa kepada murid tersebut diseru supaya tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan.

“Saya mahu menjelaskan sekiranya keluarga murid itu mahu mengambil tindakan mereka perlu membuat laporan polis terlebih dahulu,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai berita tular di media sosial seorang ibu mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun digigit oleh seorang guru di bahagian bibirnya mengakibatkan kanak-kanak itu trauma untuk ke sekolah.

Dakwa wanita berkenaan, kejadian itu bukan sahaja melibatkan anak lelakinya, tetapi beberapa murid lain turut menjadi mangsa dengan digigit di bahagian mulut, tangan, hidung dan telinga.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menyiasat berhubung kes berkenaan.

Malah, segala siasatan mesti mengikut saluran serta proses yang betul iaitu mempunyai aduan, siasatan serta ketelusan dan pihak kementerian sedang menanti keputusan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.