
Tertuduh berusia 19 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut tuduhan pertama, remaja didakwa merogol kenalannya berusia 16 tahun di dalam tandas perempuan sebuah sekolah menengah di Bukit Naning, Muar, pada 1.30 petang, 2 Jun.
Bagi tuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada 2 petang, 12 Mei dan 1.30 petang, 2 Jun lepas, di tempat sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Bagi kes amang seksual fizikal, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.
Bawah akta itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh diwakili Safiah A Aziz selaku peguam.
Mahkamah menetapkan 10 Ogos untuk laporan sosial dan sebutan semula kes.